Paku tembus tengkorak

Cape Town: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terungkai apabila dia ditemui mati dengan paku menembusi tengkorak dan mata serta kemaluannya dipotong.

Mayat Zazi Nzama ditemui ahli keluarga di Thembalihle, dekat Estcourt, Afrika Selatan, pada Sabtu lalu.

Mirror yang memetik laporan Times Live melaporkan, susulan kejadian, bapa kanak-kanak itu, Themba Majozi, 38, ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh dan memiliki organ manusia.

Anggota badan mangsa yang hilang turut dijumpai di rumah Majozi.

Dalam pada itu, nenek Zazi, Theni Majozi, 57, berkata, dia tidak faham mengapa cucunya dibunuh dengan kejam.

Difahamkan, ibu kanak-kanak malang itu dipercayai tidak tinggal bersama keluarga berkenaan.

Zazi sebelum ini dilaporkan hilang sehari sebelum mayat ditemui di dalam semak.

Setakat ini, motif pembunuhan ngeri itu belum diketahui.

Pesuruhjaya Wilayah KwaZulu-Natal, Leftenan Jeneral Khombinkosi Jula mengutuk pembunuhan kejam itu.

Ahli Majlis Eksekutif untuk Pembangunan Sosial, Nonhlanhla Khoza pula mendesak supaya pembunuh wanita dan kanak-kanak dikenakan hukuman maksimum.

“Sebatang paku ditusuk melalui tengkorak mangsa hingga ke matanya, dan kemaluannya dipotong.

“Polis perlu segera menyelesaikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak ini,” katanya.

Statistik menunjukkan seramai 58 orang menjadi mangsa bunuh sehari, atau lebih dari 21,000 setahun di Afrika Selatan.