Panik lihat F-15

Tehran: Media Iran memaklumkan sebuah jet pejuang Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terbang dalam keadaan berbahaya menghampiri sebuah pesawat komersial negara itu ketika berada di ruang udara Syria namun dinafikan AS.

Laman web berita Iran, Irib melaporkan, juruterbang Mahan Air segera menukar paras ketinggian yang menyebabkan beberapa penumpang mengalami kecederaan.

Menerusi video yang disiarkan Irib, sebuah jet pejuang dirakam penumpang menerusi tingkap pesawat selain terdapat penumpang yang mengalami pendarahan pada muka.

Dalam laporan bbc.com, jet pejuang jenis F-15 itu kemudiannya beredar pada jarak yang lebih selamat.

“Pesawat F-15 itu menjalani misi rutin di kawasan kawalan Al-Tanf di Syria dan ia laksanakan dalam jarak yang selamat untuk pemantauan visual dengan anggaran 1,000 meter daripada pesawat berkenaan,” kata Jurucakap Pusat Operasi AS, Kapten Bill Urban dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan petugas di pangkalan tentera AS di al-Tanf yang terletak di sempadan Iraq dan Jordan.

“Apabila juruterbang F-15 mengesan pesawat Mahan Air sebagai pesawat penumpang, F-15 kemudiannya memberi ruang untuk laluan pesawat berkenaan,” katanya.

Pesawat Mahan Air dalam perjalanan dari Tehran ke Beirut akhirnya selamat mendarat di lapangan terbang utama di Lubnan namun masih tidak dapat mengesahkan jumlah penumpang yang cedera.

Menerusi laporan awal, agensi berita Irib memaklumkan, dua jet pejuang yang berkemungkinan milik Israel namun ia dinafikan, kata sumber keselamatan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi berkata, negara itu sedang menyiasat insiden berkenaan dan termasuk tindakan undang-undang dan politik.