Panjat pokok pinang sara hidup

ACEH: Demi menyara kehidupan keluarga, seorang ibu tunggal di Indonesia bertarung nyawa memanjat 60 pokok pinang setiap hari.

Memetik portal BBC News Indonesia, Siti Hajar, 35, dari Desa Paloh Mampree sanggup melakukan kerja bahaya itu sebagai sumber pendapatan.

Dianggarkan setiap pokok pinang dipanjatnya mencecah lapan hingga 12 meter.

“Sehari saya panjat 60 pokok pinang dengan upah Rp2,000 (kira-kira 55 sen) sepokok.

“Biasanya pelanggan hubungi saya untuk membuat pesanan sebelum saya panjat dan hantar pinang itu kepadanya,” katanya.

Katanya, pekerjaan berbahaya itu dilakukannya sejak usia remaja.

SITI Hajar membersihkan buah pinang selepas memanjatnya.
SITI Hajar membersihkan buah pinang selepas memanjatnya.

“Selepas berkahwin, saya berhenti kerana beri tumpuan kepada suami dan dua anak.

“Sejak suami meninggal dunia lapan tahun lalu, saya kembali memanjat pokok pinang untuk menyara hidup.

“Kalau bukan musim pinang, saya turun ke bendang orang atau ambil upah sebagai pemetik kacang di kebun,” katanya.

Menurut wanita itu, selain dua anak, dia menetap bersama ibu dan abangnya di rumah yang didirikan hasil bantuan.

“Hasil upah panjat pinang kami belanja untuk membeli keperluan dapur dan sekolah anak,” katanya.