Pasangan ‘istimewa’ disatukan

UTTAR PRADESH: Seorang lelaki kerdil di utara India, tidak pernah menyangka akan mendirikan rumah tangga kerana kekurangan dirinya hinggalah dia dipertemukan dengan wanita yang sekufu.

Berketinggian cuma 91.44 sentimeter (cm), Feroz, 25, tampak sepadan dengan Zainab, 22, yang memiliki ketinggian tidak jauh beza iaitu 91cm.

Majlis perkahwinan mereka sederhana namun, menjadi bualan penduduk perkampungan di Nauchandi, Meerut di sini kerana jarang ada pengantin lelaki kerdil disatukan dengan pasangan yang juga kerdil.

Akad nikah berlangsung pada Sabtu dihadiri tetamu yang dilapor mengikut protokol jarak selamat, menurut Gulf News.

“Saya tidak pernah membayangkan akan berkahwin disebabkan masalah ketinggian ini. Apabila bapa memberitahu mengenai Zainab, saya sangat gembira.

“Kini saya boleh hidup tanpa kesulitan kerana isteri ada di sisi,” kata Feroz.

Bapa Feroz, Riazuddin menyifatkan pasangan itu anugerah Allah SWT.

“Ketika peminangan, saya tidak percaya anak lelaki saya mendapat pasangan sempurna sepertinya. Saya bersetuju dan gembira buat mereka,” katanya.