Pasangan jual anak untuk kahwin lain

New Delhi: Suami isteri di Odisha, India tergamak menjual anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun.

Pasangan itu dikatakan berbuat demikian kerana menganggap budak terbabit menjadi halangan kepada rancangan mereka untuk berpisah dan mendirikan rumah tangga dengan kekasih.

Portal India Today melaporkan budak lelaki bernama Basudev itu dijual kerana dianggap sebagai beban dan menyukarkan ibu bapanya untuk meneruskan kehidupan seandainya mereka berkahwin baharu.

Budak lelaki itu kemudiannya dijual kepada keluarga petani dan wang yang diterima digunakan pasangan itu untuk memulakan hidup baharu.

Namun, episod malang budak itu belum berakhir apabila keluarga angkatnya memberhentikannya dari sekolah memaksanya untuk menjadi penjaga lembu.

Malah, dia hanya diberi makan sekiranya tugasan yang diberikan selesai dijalankan pada hari berkenaan.

Tidak tahan diperlakukan sedemikian menyebabkan Basudev melarikan diri ke Anganwadi, sebuah pusat kebajikan kanak-kanak.

Sukarelawan di pusat berkenaan kemudian meminta Basudev tinggal di situ selepas dia menceritakan kisah penderitaan hidupnya.

Susulan kejadian, keluarga angkatnya datang untuk menjemput kanak-kanak itu pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, Basudev lebih rela tinggal di pusat kebajikan berkenaan.

“Saya tidak mahu pulang kerana di sini saya dapat belajar dan boleh mendapat pekerjaan lebih baik,” katanya.

Apa yang mengejutkan, siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa Basudev mempunyai seorang lagi adik.

Namun, dia juga mengalami nasib sama apabila dijual kepada keluarga lain dan dipaksa menjadi penjaga kambing.