Pasar borong terbesar di Beijing henti simpan produk sejuk beku

Beijing: Pasar Borong, Xinfadi yang terjejas teruk akibat Covid-19 menghentikan penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku dan hidupan laut.

Pasar itu semalam memaklumkan, tindakan itu dibuat selepas ada laporan Covid-19 berkait rapat dengan produk sejuk beku import dari beberapa wilayah dan perbandaran di China beberapa bulan kebelakangan ini.

Katanya, semua hidupan laut dan produk sejuk beku dibawa keluar dari stor penyimpanan beku sebelum bekalan elektrik ditutup dan proses nyah kuman dilakukan.

Bagaimanapun langkah itu tidak akan menjejaskan penjualan daging khinzir di pasar terbabit, lapor portal CGTN yang memetik laporan Xinhua.

Malah, pihak berkuasa juga sudah mendaftarkan dan memeriksa semua kemudahan stor penyimpanan dan sejuk beku untuk buah-buahan dan sayuran.

Pasar Xinfadi adalah pasar borong terbesar di Beijing terpaksa dihentikan operasinya sementara berikutan lonjakan penularan Covid-19 pada Jun lalu.

Namun, kawasan perniagaan sayur di pasar borong itu dibuka pada 6 September lalu.

Pasar berkenaan menyumbang kepada 70 peratus keperluan sayur di ibu negara, 10 peratus khinzir dan 3 peratus daging lembu dan kambing sebelum penutupannya, 13 Jun lalu.