Pasar Tanah Abang kini dibuka semula

JAKARTA: Pasar Tanah Abang yang terletak di pusat ibu negara Indonesia kembali dibuka bermula kelmarin selepas ditutup hampir tiga bulan selepas kesukaran melakukan penjarakan sosial.

Pengarah Pasar Jaya Arief Nasrudin menjelaskan kawasan pasar barang dagangan tidak termasuk sektor pengecualian dan kembali dibuka sepenuhnya.

“Ya kami mengendalikannya, kami buka semuanya. Jadi blok A, B, F dan G kita buka semua,” katanya.

Menurutnya, pembukaan pasar tekstil terbesar di Asia Tenggara itu disesuaikan dengan protokol pencegahan Covid-19.

Seperti mengehadkan kemasukan jumlah penjual atau pengunjung, semua individu perlu menggunakan pelitup muka di kawasan pasar.

Selain itu, hanya satu pintu masuk ke kompleks beli-belah berkenaan dibuka.

“Ya…sistem one gate. Pintu masuk dan keluar dibezakan,” katanya.

Setiap orang yang memasuki Pasar Tanah Abang akan diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu dan membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman.

Pada hari pertama pembukaan seluruh blok di Pasar Tanah Abang, sistem buka tutup gerai bernombor ganjil dan genap dilakukan.

Kaedah itu bagi mengehadkan jumlah penjual dan pengunjung dalam satu-satu masa.

Arief menjelaskan penjual dengan nombor gerai ganjil hanya dibenarkan beroperasi pada tarikh ganjil dan sebaliknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19