Pasport Jepun paling ‘power’

LONDON: Pasport Jepun dinobatkan sebagai pasport paling berkuasa di dunia.

Ia berdasarkan pemegang pasport negara itu dibenarkan untuk memasuki ke 191 negara tanpa visa atau menerusi visa semasa ketibaan (VOA).

Bagaimanapun, senarai penarafan terbaharu Henley Passport Index itu tidak mengambil kira sekatan perjalanan sementara ketika pandemik Covid-19, lapor portal Traveller.

Indeks itu menyenaraikan kedudukan pasport berdasarkan berapa banyak destinasi antarabangsa pemegang setiap pasport dibenarkan masuk tanpa visa atau menerusi VOA.

Tempat kedua, pemegang pasport Singapura dengan akses ke 190 negara. Ia diikuti Korea Selatan dan Jerman, dengan akses ke 189 negara.

Sementara itu, Finland, Itali, Luxembourg dan Sepanyol, pada kedudukan ketiga dengan akses ke 188 negara.

Malaysia pula jatuh ke kedudukan ke-14 tahun ini bersama-sama dengan Liechtenstein, dengan akses ke 178. Ia berbanding tangga ke-12 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Henley and Partners, firma berpangkalan di London yang mengendalikan indeks berkenaan berkata, penarafan itu akan jauh berubah jika mengambil kira situasi semasa.

Menurutnya, ia memandangkan banyak negara masih menguatkuasakan kawalan pergerakan dan menutup sempadannya.

Ia termasuk Amerika Syarikat (AS) yang menduduki tempat ketujuh bakal kehilangan kekuatan pasport mereka berdasarkan situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara itu.

Apabila mengambil situasi itu, kedudukan AS boleh jatuh ke tangga ke-25 setara dengan Uruguay.

Mengikut rekod, pada tahun 2014, pasport AS berada di kedudukan pertama pasport paling berkuasa di dunia.