‘Pau’ pelancong, dua polis Bali kena tindakan

Jakarta: Dua anggota polis dikenakan tindakan selepas video mereka meminta dan menerima sogokan daripada pelancong Jepun di Bali, tular di media sosial.

Jakarta Post yang memetik laporan portal Kompas melaporkan jurucakap polis negara itu, Jeneral Argo Yuwono mengesahkan perkara berkenaan.

“Pihak kami sudah mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terbabit kejadian itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut, pihaknya memohon maaf secara terbuka berhubung insiden berkenaan.

Pada masa sama, polis turut menasihatkan pihak yang pernah menjadi mangsa kejadian sama untuk tampil membuat laporan.

Sebelum ini, tular satu video di YouTube memaparkan dua anggota polis meminta wang sejuta rupiah (kira-kira RM282) daripada pelancong Jepun.

Ia selepas pemeriksaan mendapati pelancong itu melanggar peraturan kerana menunggang motosikal tanpa menyalakan lampu.

Bagaimanapun, polis itu dikatakan meminta wang berkenaan dengan memberi alasan untuk mengelak pelancong itu dikenakan tindakan.

Ia menyebabkan pelancong berkenaan menyerahkan wang itu kepadanya.

Kejadian dipercayai berlaku di Jembrana, Bali pada Disember 2019.

Rakaman berkenaan dipercayai sudah lama dimuat naik di YouTube tetapi menjadi tular, baru-baru ini.