PDRM berkas Djoko

Jakarta: Selepas 11 tahun gagal dikesan, seorang penjenayah dikehendaki Indonesia kerana rasuah ditahan polis Malaysia sebelum dihantar pulang Khamis lalu.

Ketibaan Djoko Tjandra di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada petang Khamis diiringi anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia (Bareskrim).

Ketua Bareskrim, Listyo Sigit Prabowo mengesahkan penahanan itu dilakukan dengan kerjasama polis Indonesia dan Malaysia.

“Ketua Polis Negara menghantar surat kepada polis Malaysia untuk membantu mencari penjenayah paling dikehendaki dan Alhamdulillah kita berjaya mengesan lelaki itu pada Khamis.

“Ini juga jawapan kepada keraguan masyarakat sama ada polis mampu menangkap penjenayah itu dan hari ini kita (buktikan) komitmen kita dengan penahanan Djoko Tjandra.

“Kita berterima kasih kepada polis Malaysia atas kerjasama ini,” katanya seperti dipetik dalam portal The Jakarta Post.

Djoko mula ditahan pada September 1999 selepas terbabit dalam kes rasuah berprofil tinggi Bank Bali tetapi dibebaskan daripada tuduhan berkenaan oleh Mahkamah Daerah Jakarta Selatan pada 2000.

Selepas Pejabat Pendakwa Raya (AGO) mengemukakan permohonan semakan semula kes itu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman dua tahun penjara terhadap Djoko pada 2009 dan mengarahkannya membayar 546 bilion rupiah (kira-kira RM229 juta).

Bagaimanapun, Djoko melarikan diri ke Papua New Guinea sehari sebelum keputusan mahkamah dan terus hilang sejak itu.

Djoka sebelum ini dilaporkan berjaya menyusup masuk kembali ke Indonesia tanpa dihidu pihak berkuasa sebelum mengemukakan semakan semula kes yang disabitkan terhadapnya oleh Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Jun lalu.

Dia dilaporkan memperoleh kad pengenalan elektronik dan pasport baharu selain status notis merah Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya dibatalkan.

Bagaimanapun, mahkamah menggugurkan permohonan semakan semula kes berkenaan pada Selasa lalu selepas Djoko yang dikesan bersembunyi di Malaysia, gagal hadir untuk sesi pendengaran sebanyak empat kali.

Pasukan perundangan Djoko mendakwa, anak guamnya tidak dapat menghadiri sesi perbicaraan kerana masalah kesihatan.