Pedofilia rogol, bunuh dua anak teman wanita

Yaroslavl Oblast, Russia: Lelaki pedofilia yang memperkosa dan membunuh dua beradik berusia lapan dan 13 tahun di bandar Rybinsk di sini, Selasa lalu, ditahan polis, semalam, lapor Mirror Online.

Vitaly Molchanov, 41, ditahan polis ketika bersembunyi di kawasan semak samun di luar bandar itu dengan rakaman video penahanan itu tular di media sosial.

Dalam rakaman video itu, Molchanov mengakui membunuh kedua-dua kanak-kanak itu dengan memberitahu polis, “Kira-kira 8 malam saya membuka sebotol (arak) lagi, dan menghabiskannya kira-kira 10 malam. Dan… begitulah, saya membunuh mereka.”

Molchanov didakwa membunuh Elena, 8, dan Yana Saprunova, 13, menggunakan pisau dan bukti forensik menunjukkan kedua-dua mangsa dirogol sebelum itu.

Kedua-dua kanak-kanak itu adalah anak kepada teman wanita Molchanov, Valentina Saprunova, 40, yang dikenalinya melalui aplikasi cari jodoh.

Mereka berdua tinggal bersama sejak sebulan lalu selepas Valentina mengambil keputusan berpindah ke bandar itu dan bekerja sebagai jururawat di situ.

Selasa lalu, ketika pulang dari kerja, Valentina terkejut apabila menemui kedua-dua anaknya itu sudah tidak bernyawa di kediaman mereka, manakala Molchanov pula menghilangkan diri.

Sebaik melaporkan kejadian itu kepada polis, siasatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Molchanov yang berpakaian trek sukan berwarna merah melarikan diri dari kediaman itu.

Operasi memburu suspek itu dijalankan secara besar-besaran di bandar terbabit selepas itu sebelum penahanannya hari ini.

Valentina memberitahu polis, dia tidak mengetahui teman lelakinya pedofilia dan memiliki jenayah lampau membunuh sertra melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.

Valentina kini dalam jagaan ahli psikologi polis akibat tekanan, malah dia enggan bercakap dengan keluarganya sendiri sejak kejadian itu berlaku.

Pada 2010, Molchanov dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah membunuh dan merogol sebelum dibebaskan tahun ini.

Ombudsman Kanak-Kanak Russia, Anna Kuznetsova menyifatkan pembunuhan itu tidak berperikemanusiaan.

“Tiada kata dapat mengungkapkan jenayah itu. Jenayah yang dahsyat,” katanya.

“Diketahui sebelum ini dia (Molchanov) dihukum kerana merogol dan membunuh seorang kanak-kanak. Kini dua lagi kanak-kanak menjadi mangsanya,” kata Anna.