Pegawai CIA maut di Somalia

Washington: Seorang pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) meninggal dunia ketika menjalani misi di Somalia hujung minggu lalu, lapor agensi berita Sputnik.

Menurut laporan CNN pada Rabu, memetik seorang bekas pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat (AS), pegawai CIA itu adalah bekas Tentera Laut AS, namun identitinya dirahsiakan.

Terdahulu, Ketua Penyiasat Jabatan Pertahanan AS dalam sebuah laporan menyatakan militia al-Shabab meneruskan serangan di Afrika Timur ketika tentera AS menyemak semula mengenai pelan peralihan tanggungjawab keselamatan kepada Somalia berikutan kegagalan askar Somalia mencapai tahap yang ditetapkan.”

Pentadbiran Donald Trump sebelum ini merancang untuk mengundurkan lebih 600 tentera dari negara itu tidak lama lagi.