Pelajar ditampar, tidak berdiri ketika lagu kebangsaan berkumandang

Bangkok: Seorang peniaga wanita bertindak menampar muka pelajar perempuan kerana tidak berdiri ketika lagu kebangsaan berkumandang di stesen kereta api di Ayutthaya dekat sini.

Bangkok Post melaporkan, tindakan tertuduh yang dikenali Poo, 45, itu dikecam warganet selepas rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial.

Selain menampar mangsa, peniaga berkenaan turut menarik rambut mangsa dan keadaan berlaku ketika penumpang lain sedang beratur menunggu kereta api tiba hingga ada yang masuk campur untuk meleraikan keadaan.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Phra Nakhon Si Ayutthaya.

Namun, tertuduh tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa pada Rabu lalu dan mengakui keterlanjurannya.

Dalam kenyataannya, tertuduh memberitahu ada bertanya kepada mangsa mengenai kerakyatannya dan pelajar terbabit mengakui dirinya adalah warga tempatan.

Namun, mangsa enggan berdiri kerana menganggap itu adalah haknya.

Menurut laporan media tempatan, jawapan mangsa mengundang kemarahan tertuduh.

Bapa saudara mangsa pula menjelaskan anak saudaranya tidak berdiri kerana mengalami haid.

Lelaki itu juga memaklumkan anak saudaranya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik.

Dia dan keluarga mangsa memaafkan tertuduh tanpa menyimpan dendam tetapi tidak menarik laporan kerana mahu polis menjalankan siasatan.

Polis Phra Nakhon Si Ayutthaya beerkata, tertuduh disiasat kerana melakukan serangan dan boleh berdepan hukuman penjara selama sebulan atau denda sebanyak 10,000 baht (kira-kira RM1,335) atau kedua-duanya sekali.