Pelakon Batman positif Covid-19

Los Angeles: Aktor British, Robert Pattinson yang melakonkan watak utama dalam filem adiwira The Batman disahkan positif Covid-19, lapor agensi berita Xinhua yang memetik laporan media tempatan Amerika Syarikat pada Khamis.

Menurut Vanity Fair, penggambaran The Batman ditangguhkan selepas beberapa hari ia bersambung di studio di luar London, United Kingdom.

Dalam pada itu, penerbit filem berkenaan, Warner Bros dalam kenyataannya memberitahu media bahawa studio itu tidak akan mengulas mengenai masalah kesihatan membabitkan pekerjanya.

Bagaimanapun, ia mengesahkan bahawa seorang daripada pekerja yang menjalani penggambaran filem The Batman disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, individu berkenaan kini menjalani pengasingan dan penggambaran filem berkenaan terpaksa ditangguhkan.

Sementara itu, laman sesawang peminat Robert Pattinson turut dibanjiri dengan komen warganet yang mendoakan kesihatan pelakon berkenaan.

Penggambaran The Batman sebelum ini ditangguhkan pada Mac kerana penularan Covid-19.

Susulan itu, filem berkenaan dijadualkan ditayangkan pada Oktober 2021.

The Batman yang diadaptasikan dari komik dengan judul sama diarahkan oleh Matt Reeves dan Pattinson melakonkan watak Batman atau Bruce Wayne.

Pattinson menjadi bintang Hollywood terbaharu disahkan dijangkiti Covid-19.

Pada Rabu, Dwayne Johnson, atau lebih dikenali sebagai “The Rock menerusi Instagram mengesahkan beliau dan keluarganya, positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19