Pelakon wanita Afghanistan ditembak

Kabul: Saba Sahar, pelakon terkemuka dan antara wanita pertama di Afghanistan yang bergelar pengarah ditembak oleh individu tidak dikenali di sini.

BBC melaporkan, susulan kejadian, Saba yang berusia 44 tahun itu dikejarkan ke hospital.

Suaminya, Emal Zaki berkata, ketika kejadian, Saba yang juga aktif memperjuangkan hak wanita di negara itu dalam perjalanan untuk ke tempat kerja.

Difahamkan, terdapat lima individu di dalam kereta berkenaan termasuk dua pengawal peribadi, seorang pemandu dan seorang kanak-kanak.

Tiga lelaki dipercayai melepaskan tembakan ke arah kereta dinaiki mangsa.

Emal berkata, dia mendengar bunyi tembakan lima minit selepas kenderaan dinaiki isteri meninggalkan rumah.

Dia kemudian menghubungi isterinya dan wanita itu memberitahu dia terkena tembakan.

“Saya terus ke lokasi dan membantu mangsa cedera. Dia diberikan bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya.

Emal berkata, pengawal peribadi turut cedera, namun kanak-kanak dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, isterinya itu selamat menjalani pembedahan

Saba adalah pegawai polis terlatih dan masih bekerja dengan kementerian dalam negeri Afghanistan.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan.