Peluncur air termuda berusia enam bulan

Washington: Hanya pada usia enam bulan, Rich mungkin menjadi atlet luncur air termuda di dunia.

Ini kerana pada usia semuda itu, bayi dari St George, Utah itu sudah meluncur di Tasik Powell, Ahad lalu.

Aksinya itu dirakam kedua-dua ibu bapanya, Casey dan Mindi Humphery yang berkongsi gambar dan video buah hati mereka di Twitter, lapor Fox 13.

Mereka turut berkongsi ia dilakukan ketika ulang tahun Rich keenam bulan dengan meletakkan tanda pagar #rekoddunia.

“Saya pergi meluncur air ketika ulang tahun saya keenam bulan. Ia begitu penting,” ciap mereka di Twitter.

Akaun berkenaan didedikasikan khas untuk gambar Rich dengan aktiviti luar.

Di dalam akaun Instagram, ibu bapanya turut memaklumkan bayi itu berusia enam bulan dan empat hari.

Rekod itu mengalahkan rekod termuda yang pernah dicatatkan sebelum ini dengan perbezaan enam hari.

Ia dipegang Auburn Absher pada 2016 ketika berusia enam bulan dan sepuluh hari, seperti dilaporkan ABC News.

Setakat ini, belum ada rekod rasmi mengenai pemain luncur air paling muda.