Pembunuh Khashoggi terlepas hukuman mati

Riyadh: Mahkamah di Arab Saudi membatalkan hukuman mati terhadap pembunuh wartawan Jamal Khashoggi.

Sebaliknya, The Guardian melaporkan lapan tertuduh dikenakan hukuman penjara antara tujuh dan 20 tahun.

“Lima daripada tertuduh dihukum penjara 20 tahun, manakala tiga tertuduh lagi dipenjara antara tujuh dan 10 tahun,” lapor agensi rasmi negara itu, Saudi Press Agency yang memetik jurucakap untuk timbalan pendakwa raya.

Bagaimanapun, tiada satu pun tertuduh dinamakan.

Mei lalu, anak Khashoggi dilaporkan mengampunkan pembunuh bapanya.

Langkah yang disifatkan sebagai lawak oleh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia sekali gus menyelamatkan nyawa lima individu yang pada Disember lalu, dihukum bunuh kerana membunuh Khashoggi.

Khashoggi, 59, dibunuh dan anggota badannya dikerat di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Kes berkenaan mencalarkan imej keluarga diraja terutamanya Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Menurut pegawai kerajaan Turki, Khashoggi yang gemar mengkritik Putera Mohammed dicekik, sebelum badannya dikerat kepada beberapa bahagian di dalam bangunan konsulat berkenaan.

Sehingga kini, jasadnya tidak ditemui.

Riyadh sebelum ini menyifatkan pembunuhan itu sebagai operasi rahsia, tetapi Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan utusan khas PBB mengaitkannya dengan Putera Mohammed.

Bagaimanapun, Arab Saudi menafikan semua dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, tunang kepada Khashoggi, Hatice Cengiz menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak masuk akal.

“Kerajaan menutup kes ini tanpa dunia mengetahui siapa pembunuh sebenar.

“Siapa yang merancang (pembunuhan) , siapa yang mengarahkannya, di mana mayatnya? Ini adalah antara soalan yang belum terjawab,” katanya.