Pembunuh wartawan dijel 50 tahun

Mexico City: Seorang lelaki dihukum penjara 50 tahun selepas didapati bersalah mengarahkan pembunuhan wartawan wanita terkemuka Mexico, Miroslava Breach pada 2017.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Juan Carlos Moreno, yang turut dikenali sebagai ‘El Larry’.

Perkara itu dimaklumkan menerusi pihak timbalan pendakwa raya pada Sabtu.

Berdasarkan badan pemerhati kewartawanan, Reporters Without Borders, Mexico adalah antara negara yang paling berbahaya di dunia untuk wartawan.

Breach, yang membuat liputan mengenai perang antara kartel dadah negara itu menjadi antara 11 wartawan yang dibunuh pada 2017.

Lebih daripada 100 wartawan sudah terbunuh sejak 2000, namun 90 daripada kes bunuh berkenaan tidak pernah dapat diselesaikan.

Breach, wartawan kanan jenayah dan politik untuk akhbar La Jornada dan Norte de Juarez ditemui mati di dalam keretanya dengan kesan tembakan di kepala, di Chihuahua, pada 2017

Antara artikel terakhir ditulisnya adalah persaingan antara dua ketua kartel dadah di Juarez.

Pihak pendakwa raya mendakwa pembunuhan itu sudha dirancang kerana mangsa menerima banyak nota ugutan sebelum ditemui mati.

Ramon Zavala, individu yang dikehendaki kerana membunuh Breach, dibunuh boleh individu tidak dikenali pada 2017.