Pemilik taman tema didenda sebabkan kematian

Brisbane: Pemilik taman tema terbesar di Australia didenda Aus$3.6 juta (AS$2.5 juta) hari ini kerana gagal memastikan prosedur keselamatan berada pada tahap terbaik sehingga menyebabkan empat kematian ketika menaiki permainan air yang sangat popular pada 2016.

Masing-masing dua wanita dan lelaki maut apabila rakit dinaiki bertembung antara satu sama lain ketika menaiki Thunder River Rapids di Dreamworld on the Gold Coast, menyebabkan pihak pendakwa memfailkan tiga pertuduhan terhadap pemiliknya, Ardent Leisure, pada Jun lalu.

Mahkamah Queensland mendapati syarikat melanggar undang-undang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, serta boleh dikenakan denda maksimum sehingga Aus$4.5 juta.

Ardent Leisure dalam kenyataan kepada Bursa Sekuriti Australia berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian itu dan memohon maaf tanpa sebarang permintaan.

Ahli Lembaga Pengarah dan Eksekutif syarikat turut merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi itu.

Syarikat itu yang turut berdepan kritikan selepas cuba membuka taman tema itu sebelum urusan pengebumian berkata, kepimpinan baharu sudah merombak dan membaiki prosedur keselamatan di taman tema itu.

Ardent Leisure berkata, pihaknya juga sudah memberikan ganti rugi kepada kebanyakan keluarga, responden pertama dan mana-mana pihak yang terkesan akibat tragedi itu, selain berusaha menjelaskan tuntutan yang belum selesai.