Pemimpin anti-Islam Denmark diharamkan masuk Sweden

Stockholm: Sweden mengharamkan ahli politik Denmark, Rasmus Paludan yang lantang dengan pendirian anti-Islam untuk memasuki negara itu selama dua tahun.

Pihak berkuasa negara itu berkata, ia berikutan pemimpin parti Hard Line yang memperjuangkan dasar anti-pendatang itu memberi risiko keselamatan terhadap Sweden.

“Kita mengesyaki beliau (Paludan) akan melanggar undang-undang Sweden,” kata Calle Persson, jurucakap polis di Malmo kepada AFP.

Paludan sebelum ini dijangka mengunjungi Malmo pada Jumaat untuk menghadiri perhimpunan anti-Islam dan meminta orang ramai membakar al-Quran.

Bagaimanapun, beliau ditahan pihak berkuasa Sweden berhampiran Malmo.

Berdasarkan laporan media tempatan, penyokong Paludan tetap meneruskan perhimpunan berkenaan dan membakar al-Quran.

Susulan kejadian, tiga individu ditahan kerana cuba mencetuskan kebencian.

Dalam pada itu, Paludan memuat naik hantaran di Facebook dengan nada berbaur sindiran.

“Dihantar pulang dan diharamkan memasuki Sweden untuk dua tahun. Bagaimanapun, perogol dan pembunuh sentiasa dialu-alukan,” tulisnya.

Pada tahun lalu, lelaki itu membakar al-Quran dengan dikelilingi daging babi iaitu daging yang haram bagi umat Islam.

Parti Hard Line terkenal dengan polisi anti-Islam yang bukan sahaja mahu menghalang penghijrahan individu bukan Eropah ke Denmark.

Selain itu, ia mahu mengusir pendatang dan orang Islam dari negara itu.