Pemimpin kanan JI pengeboman Bali 2002 ditahan

Jakarta: Indonesia menahan pemimpin kanan Jemaah Islamiyah (JI), kumpulan yang dikaitkan dengan rangkaian al-Qaeda selepas dipercayai menjadi individu bertanggungjawab pengeboman di Bali pada 2002, kata seorang jurucakap polis.

Jurucakap Polis Nasional, Argo Yuwono berkata, Zulkarnaen, 57, ditangkap di Lampung, Sumatera pada Khamis lalu selepas hampir 18 tahun menyembunyikan diri.

Polis kini menyiasat Zulkarnaen dan pasukan antikeganasan sudah membuat siasatan susulan di kediamannya, kata Argo.

Zulkarnaen termasuk dalam senarai individu paling dikehendaki Indonesia berikutan peristiwa pengeboman di kawasan pelancongan di Bali yang mengorbankan 202 orang.

“Dia (Zulkarnaen) adalah pemimpin Jemaah Islamiyah ketika serangan itu,” kata Argo lagi.

Pengikut Zulkarnaen juga dipercayai bertanggungjawab melakukan pengeboman berani mati di Hotel Marriott, Jakarta pada 2003 yang mengorbankan 12 orang awam.

Dia adalah satu-satunya warga Indonesia yang disenaraikan Amerika Syarikat (AS) dalam Rewards for Justice dengan tawaran wang hingga 5 juta dolar AS (RM20.2 juta) untuk menangkapnya.

Zulkarnaen yang pernah menyertai perang Afghanistan menubuhkan pasukan khas dalam JI di Indonesia yang ditugaskan untuk merancang serangan berani mati.

Pasukan itu juga diberi mandat mencetuskan keganasan etnik dan agama di Sulawesi dan Maluku yang mengakibatkan ribuan mati antara 1998 dan 2002.

JI diasaskan segelintir militan Indonesia berkembang di Malaysia pada 1980-an seterusnya seluruh Asia Tenggara.