Pencuri tinggalkan nota, mohon maaf

New Delhi: “Maafkan saya, saya lapar. Kamu kerugian sehari keuntungan tetapi nilai itu bersamaan dengan tiga bulan buat saya.

“Sekali lagi, saya mohon maaf,” demikian nota ditinggalkan seorang pencuri selepas mencuri barangan di sebuah kedai dalam sebuah pasar raya di Usilampatti, India.

India Times melaporkan, suspek dipercayai mencuri barangan yang dianggarkan bernilai 65,000 rupee (kira-kira RM3,684).

Menurut sumber, kecurian itu berlaku di kedai milik M Ramprakash, 30, yang berasal dari Kavandanpatti.

M Ramprakash menyedarinya ketika membuka kedai apabila mendapati kehilangan dua komputer, sebuah televisyen dan wang tunai 5,000 rupee (kira-kira RM283).

Polis memaklumkan suspek turut membawa lari rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun, ada kesan cap jari ditemui dan pakar dipanggil untuk menjalankan siasatan.

Polis Usilampatti turut membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti suspek terbabit.

Menurut rekod, kejadian serupa turut berlaku tahun lalu di sebuah kedai di Tamil Nadu.

Namun, suspek terbabit pulang dengan tangan kosong apabila cubaannya gagal kerana tiada wang ditemui di dalam peti.

Suspek bagaimanapun sempat meninggalkan nota kepada pemilik kedai memberitahu terpaksa meletakkan dirinya di dalam bahaya demi melakukan rompakan.