Penduduk Palestin bantah tindakan Bahrain, UAE

Baitulmaqdis: Ratusan penduduk Palestin mengadakan bantahan susulan langkah Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menandatangani perjanjian bagi memulihkan hubungan dengan Israel.

Mereka memegang bendera Palestin dan memakai pelitup muka berwarna biru pada demonstrasi di Nablus dan Hebron di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Ratusan lain mengadakan acara sama di Ramallah yang menjadi ibu pejabat kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Mereka memegang kain rentang memaparkan tulisan ‘Treason’ (Belot), “No to normalisation with the (Israeli) occupier’ (Tidak kepada memulihkan hubungan dengan penjajah Israel) dan

‘The agreements of shame’ (Perjanjian Memalukan).

Keputusan oleh UAE dan Bahrain melanggar persetujuan selama beberapa dekad antara negara Arab untuk tidak mengadakan sebarang hubungan dengan rejim Israel.

Di Gaza, penunjuk perasaan memijak dan membakar plakad gambar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Raja Bahrain Hamad Isa Al-Khalifa dan pemerintah UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.

“Kami katakan kepada Bahrain dan UAE bahawa perjanjian ini adalah pengkhianatan kepada rakyat Palestin dan negara Arab,” kata Ahmad al-Medalal, pegawai Jihad Islam Palestin pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Palestin Mahmud Abbas dalam kenyataannya berkata, perdamaian hanya akan dicapai di Timur Tengah, jika Israel mengundurkan diri daripada wilayah jajahannya.

“Keamanan, keselamatan dan kestabilan tidak akan dicapai di wilayah ini sehingga penjajahan Israel berakhir,” katanya.

Sebelum ini, Israel sudah menandatangani perjanjian damai dengan dua negara Arab, Mesir dan Jordan, masing-masing pada 1979 dan 1994.