Pengantin lelaki mirip Jokowi

Jakarta: Tular di media sosial dengan gambar perkahwinan seorang pengantin lelaki kerana wajahnya yang dikatakan mirip Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Portal Kompas melaporkan, gambar pengantin lelaki dan pasangannya itu tular selepas dimuat naik di Facebook (FB) rasmi jurusolek perkahwinan, Arta Pratama Rias Pengantin.

Gambar dimuat naik itu menunjukkan pasangan berkenaan menggayakan persalinan berwarna putih dan senyuman pengantin lelaki yang menjadikan wajahnya ketara mirip Jokowi.

Ia menjadikan mempelai itu mendapat jolokan pengantin Jokowi dalam kalangan penduduk setempat.

Pengantin lelaki bernama Sukiman dan berasal dari Kampung Gapuk, Lombok Timur dan menikahi isterinya, Rohani dengan mas kahwin 2 juta rupiah (kira-kira RM569).

Rohani ketika dihubungi mengakui terkejut apabila melihat gambar perkahwinannya tular di media sosial dengan rata-ratanya mengatakan wajah suaminya mirip Presiden Indonesia.

“Waktu pertama kali kami bertemu, saya tidak merasakan wajahnya mempunyai iras Jokowi.

“Namun, ramai jiran mengatakan wajah mereka sama,” katanya.

Sementara itu, jurusolek dan pemilik akaun yang memuat naik gambar pasangan berkenaan, Edi Hartadi berkata gambar itu tidak disunting olehnya.

“Memang saya yang menyolek wajahnya dan gambar itu bukan rekaan dan langsung tidak disunting .

Ia benar malah saya rasa seperti menyolek wajah pemimpin nombor satu Indonesia tempoh hari,” katanya.