Pengecualian kuarantin punca gelombang ketiga di Hong Kong

HONG KONG: Hong Kong akan menghentikan aktiviti pertukaran kru bagi semua kapal di republik berkenaan bermula Rabu nanti bagi mengurangkan pengecualian kuarantin yang dikatakan menyebabkan gelombang ketiga Covid-19 di sana.

Selepas tidak mencatatkan sebarang kes penularan tempatan selama beberapa minggu, kes baharu jangkitan meningkat kepada tiga angka setiap hari dan menimbulkan kebimbangan wabak berkenaan tidak terkawal.

Lebih 1,000 jangkitan dilaporkan sejak awal Julai lalu yang mewakili lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sejak dikesan penghujung Januari.

Beberapa pakar kesihatan menyalahkan pengecualian kuarantin 14 hari yang diberikan kerajaan kepada pihak tertentu termasuk trak rentas sempadan serta kru kapal dan penerbangan.

Disebabkan jaringan udara yang luas dan pelabuhan yang sibuk, Hong Kong adalah titik transit popular untuk aktiviti pertukaran kru.

Kerajaan mengumumkan sejumlah langkah untuk memperketat pengecualian kuarantin bermula hari ini kerana bandar itu mencatatkan 128 kes baru dalam 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 2,634 kes dengan 18 kematian.

Sebilangan besar kes baru adalah penularan tempatan.

Mulai Rabu nanti, hanya kapal dengan muatan yang dihantar ke Hong Kong saja dapat menukar kru, tetapi mereka tidak dibenarkan bergaul di tempat awam dan perlu terus ke lapangan terbang, atau tempat kuarantin yang ditentukan.

“Kami percaya dengan memperketat syarat-syarat yang relevan, kami dapat mengatasi keprihatinan masyarakat terhadap risiko kesihatan,” kata seorang jurucakap kerajaan.