Pengeluar vaksin Covid-19 sasaran penggodam

New York: Syarikat pengeluar bekalan vaksin Covid-19 kini menjadi sasaran kumpulan penggodam.

IBM kelmarin memberi amaran, kumpulan penggodam mencuba mencuri data rahsia perdagangan untuk mengganggu rantaian bekalan vaksin itu.

IBM mendedahkan, pihaknya mengesan beberapa siri serangan siber terhadap syarikat yang terbabit dalam pengeluaran dos vaksin itu.

Katanya, Ketua Pengarah Suruhanjaya Eropah untuk Kesatuan Cukai dan Kastam serta syarikat di Eropah dan Asia yang terbabit dalam rantaian bekalan turut menjadi sasaran serangan penggodam.

“Pasukan kami mengesan kempen serangan phishing data global yang menyasarkan organisasi berkaitan rangkaian bekalan sejuk Covid-19,” kata dua penganalisis IBM X-Force, Claire Zaboeva dan Melissa Frydrych dalam satu hantaran di blog.

Katanya, tujuan penggodam mungkin mahu mendapatkan kelayakan mengakses maklumat tidak sah ke rangkaian korporat dan maklumat sensitif yang berkaitan dengan pengedaran vaksin Covid-19 pada masa hadapan.

“Tidak jelas sama ada serangan itu berjaya dan tidak dapat dipastikan siapa dalang di sebalik serangan itu.

“Penggodam menyamar sebagai eksekutif dan pekerja daripada Haier Biomedical dan menghantar e-mel phishing kepada syarikat penyedia sokongan untuk keperluan pengangkutan rangkaian bekalan sejuk Covid-19,” kata mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19