Pengemis ‘kudung’ miliki lima aset

Kaherah: Sanggup menipu dirinya kudung kaki dan berkerusi roda untuk menagih simpati dan mengaburi mata orang ramai.

Itu taktik licik seorang wanita di Mesir yang aktif melakukan aktiviti mengemis meminta sedekah di beberapa wilayah di negara itu

Namun, sandiwara wanita berusia 57 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan pihak berkuasa negara itu.

Apa yang mengejutkan, siasatan mendapati ‘pengemis’ itu sebenarnya memiliki lima bangunan kediaman di Gharbia dan Qaliubia

Selain itu, dia didapati memiliki wang berjumlah tiga juta pound Mesir (RM793,700) dalam dua akaun banknya.

Akhbar tempatan, Al Masry Al Youm melaporkan selama ini, wanita itu berpura-pura kudung kaki apabila mengemis.

Selain itu, dia menggunakan kerusi roda untuk meminta sedekah di beberapa wilayah di negara itu.

Pada awalnya, polis menyangka wanita itu benar-benar orang kurang upaya (OKU) apabila duduk mengemis di atas kerusi roda.

Bagaimanapun, ada saksi memberitahu bahawa wanita itu dapat berjalan dengan normal apabila selesai mengemis.