‘Penghinaan’ pesawat mewah Presiden Mexico tak laku

Mexico City: Mexico melaksanakan raffle atau loteri untuk menjual jet mewah presiden yang dikatakan pembaziran wang rakyat.

Ia disifatkan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador sebagai penghinaan kepada rakyat berikutan pesawat itu sehingga kini belum terjual.

Bagaimanapun, pemenang raffle itu tidak membawa pulang Boeing 787 Dreamliner berkenaan. Sebaliknya, 100 pembeli tiket berkongsi ganjaran wang tunai berjumlah 2 juta Peso Mexico (RM392,988).

Jet mewah berkenaan dibeli dengan harga AS$218 juta (RM902 juta) ketika zaman pemerintahan bekas Presiden Felipe Calderon’s namun kini nilainya dianggarkan AS$130 juta (RM538 juta).

Satu-satunya yang menggunakan pesawat direka khas dengan bilik tidur eksekutif, bilik mandi peribadi dan tempat duduk yang mampu memuatkan 80 orang hanya penggantinya, Enrique Pena Nieto.

Pesawat itu dibawa semula ke Mexico dari Amerika Syarikat pada Julai lalu selepas gagal dijual.

Pada kempen pilihan raya 2018, Lopez Obrador berjanji menjual pesawat itu dengan mendakwa ia pembaziran kutipan hasil cukai.

Beliau turut dilaporkan berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pun tidak memiliki pesawat semewah itu.

Februari lalu, Lopez Obrador mencadangkan raffle diadakan untuk mencari seorang pemenang namun rancangan itu gagal kerana undang-undang melarang aset negara dijual.

Sebaliknya, enam juta tiket rafel dijual dengan menggunakan gambar pesawat.

Kerajaan merancang, dua pertiga daripada hasil itu dibayar untuk hadiah dan selebihnya disumbangkan ke hospital awam untuk rawatan golongan miskin.