Penjara, denda tak pakai pelitup muka

Doha: Qatar menguatkuasakan hukuman lebih berat kepada kepada individu yang gagal memakai pelitup muka di khalayak ramai bagi memerangi kadar jangkitan Covid-19.

Setakat ini, lebih dari 30,000 penduduk negara itu diuji positif Covid-19 iaitu 1.1 peratus daripada 2.75 juta penduduk dengan 15 kematian dicatatkan.

Individu yang melanggar peraturan baru itu akan dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sebanyak AS$55,000 atau kira-kira RM264,000.

Bagaimanapun pemandu persendirian dikecualikan daripada peraturan berkenaan tetapi beberapa ekspatriat memberitahu AFP terdapat polis yang menahan kereta mereka dan memberi amaran mengenai peraturan baru berkenaan.

Ketika ini, pemakaian pelitup muka adalah wajib di kira-kira 50 negara walaupun saintis berbeza pendapat mengenai keberkesanan pemakaiannya.

Pihak berkuasa Chad mengenakan penjara 15 hari jika masyarakat di negara itu tidak memakai pelitup muka.

Di Maghribi, individu yang tidak memakai pelitup muka boleh dikenakan tindakan denda sebanyak AS$130 dan penjara selama tiga bulan.

Pihak berkuasa di Qatar juga turut menasihati sebarang perjumpaan secara berkumpulan pada bulan Ramadan mungkin akan meningkatkan jumlah jangkitan.

Ketua Bersama Jawatankuasa Kesediaan Pandemik Nasional Qatar, Abdullatif Al-Khal berkata, terdapat risiko besar dalam pertemuan keluarga untuk makan ketika bulan Ramadan.

“(Mereka) menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan yang ketara dalam kalangan warga Qatar,” katanya.

Di Qatar, masjid, sekolah, pusat beli belah dan restoran ditutup bagi mencegah penularan wabak ini.

Bagaimanapun tapak pembinaan dibuka ketika Qatar sedang bersiap untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dengan pihak berkuasa tempatan menetapkan peraturan penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan Covid-

    19