Penolakan vaksin sukarkan usaha bendung Covid-19

Paris: Saintis menggesa tindakan lebih berkesan untuk meningkatkan kepercayaan awam terhadap imunisasi memandangkan terdapat kumpulan minoriti di beberapa negara yang enggan mengambil vaksin Covid-19.

Dengan hanya beberapa rawatan berkesan dan tiada penawar setakat ini, pengeluar vaksin dan kerajaan sedang berlumba-lumba membangunkan vaksin untuk mengekang penularan pandemik ini.

Namun, terdapat kebimbangan terhadap peningkatan kepada ‘keraguan vaksin’ di mana maklumat salah menyebabkan segelintir individu sukar menerima bukti saintifik.

Kajian yang diterbitkan dalam Nature Medicine, penyelidik di Sepanyol, Amerika Syarikat (AS) dan Britain menjalankan kaji selidik terhadap 13,400 individu di 19 negara yang teruk dilanda Covid-19 mendapati 14 peratus responden enggan menerima vaksin, manakala 14 peratus lagi teragak-agak.

Namun, 72 peratus responden bersedia untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Tetapi, jika jumlah yang sedikit itu dikumpulkan dari setiap populasi, ia mungkin menjadikan jumlahnya mencecah jutaan individu enggan menerima vaksin.

“Maklumat ini perlu menjadi titik tindakan komuniti kesihatan antarabangsa.

“Jika kita tidak bangunkan literasi vaksin dan memastikan kepercayaan umum terhadap sains, kita tidak boleh mengekang pandemik ini,” kata penulis bersama kajian berkenaan, Heidi Larson.

Penyelidik mendapati bahawa mereka yang tidak percaya kepada pemerintah lebih cenderung untuk tidak menerima vaksin termasuk mereka yang pernah dijangkiti virus berkenaan.

Di China 88 peratus responden mengatakan mereka akan mengambil “vaksin yang terbukti, selamat dan berkesan”, angka tertinggi dicatatkan berbanding negara lain dalam kaji selidik itu.

AS mencatatkan penerimaan 75 peratus dan di Rusia hanya 55 peratus bersetuju.

“Kami mendapati bahawa masalah keraguan vaksin sangat berkaitan dengan kurangnya kepercayaan kepada pemerintah,” kata penyelaras kajian Jeffrey Lazarus, dari Institut Kesihatan Global Barcelona.

Ketika ditanya apakah mereka akan menerima vaksin selamat yang disarankan oleh majikan mereka, hanya 32 peratus responden bersetuju sepenuhnya.

Kadar penerimaan sekali lagi berbeza-beza mengikut negara, dengan China sekali lagi mendapat respons positif yang paling jelas (84 peratus sama ada sepenuhnya atau agak setuju) dan Rusia dengan yang paling sedikit (27 peratus).

Katanya, individu kurang cenderung menerima vaksin jika diarahkan oleh majikan mereka.

Kajian yang dikeluarkan di Persidangan Dunia Kesihatan Paru-Paru, mendapati penerimaan vaksin lebih tinggi di kalangan orang yang berpendapatan lebih dari AS$32 sehari (RM133).

Mereka juga mendapati orang tua lebih cenderung menerima vaksin daripada mereka yang berumur di bawah 22 tahun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19