Penonton prihatin kesihatan wartawan

Miami: Seorang wartawan penyiaran di Florida berterima kasih kepada seorang penonton yang menghantar e-mel mengingatkan mengenai benjolan pada lehernya.

Selepas menerima e-mel itu, Price yang bertugas di Florida TV melakukan pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan dia menghidap kanser tiriod.

Menurut Price, semuanya bermula apabila dia menerima kiriman e-mel pada bulan Jun daripada seorang penonton.

“Hai, saya baru saja melihat laporan berita anda. Apa yang membimbangkan saya adalah benjolan di leher anda.

“Sila periksa tiroid anda kerana ia mengingatkan saya pada leher saya. Akhirnya saya menghidap barah. Jaga diri kamu,” tulis individu yang mengirim e-mel itu.

Price berkata, dia kemudian melakukan beberapa ujian sebelum doktor mengesahkannya mempunyai masalah hipotiroid.

Wartawan itu dilaporkan bertemu pakar di Hospital Besar Tampa dan diberitahu menghidap kanser tiroid.

Malah, kanser itu merebak ke kelenjar.

Price dijadualkan menjalani pembedahan untuk membuang tiroid dan kelenjar serta dijangka akan kembali bekerja seminggu lagi, jika kesihatannya kembali stabil.

Difahamkan, dia membalas kiriman e-mel kepada penonton prihatin berkenaan untuk mengucapkan terima kasih.

“Sekiranya anda membaca e-mel ini, anda tidak perlu membalasnya. Ia kerana anda memberikan pertolongan amat besar,” tulisnya.