Penutup hidung dan mulut bergaya

Washington: Permintaan yang tinggi terhadap penutup hidung dan mulut ketika penularan pandemik Covid-19 menyebabkan sebuah syarikat berpusat di Florida membuat topeng muka daripada kulit ular dan buaya.

Portal The Miami Herald melaporkan, syarikat berkenaan, All American Gator yang khusus dalam pembuatan produk kulit buaya dan ular mula menjual topeng muka Covid-19 khas yang diperbuat daripada kulit reptilia itu.

Bagaimanapun, penutup hidung dan mulut itu tidak menjamin perlindungan dan dapat menapis virus Covid-19 tetapi direka khas untuk fesyen semata-mata.

“Orang ramai harus menutup wajah mereka dan kemungkinan kita perlu berdepan dengan keadaan ini dalam tempoh lama,” kata pemilik All American Gator, Brian Wood kepada portal itu.

WOOD menyiapkan penutup hidung dan muka. FOTO Agensi
WOOD menyiapkan penutup hidung dan muka. FOTO Agensi

Katanya, orang ramai mahu menggayakan topeng muka ketika wabak berlaku dan dia memberi pilihan itu kepada mereka.

Topeng dibuat daripada silikon pelindung hipoalergenik dengan kulit reptilia diregangkan ke atasnya.

Wood mengatakan dia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kain kerana barangan perubatan bertaraf pembedahan sangat sukar ditemui tetapi dia menyebut beberapa topeng mungkin dilengkapi dengan sistem penyaringan N95 yang canggih.

“Topeng ular sawa dibuat dengan lubang yang dibingkai dengan logam hitam, perak atau emas. Ia juga akan dilindungi dengan tali penutup ‘Velcro’ dan didatangkan dalam pelbagai warna dan kemasan.

“Reka bentuknya masih dalam peringkat awal dan saya ingin memanfaatkan bekalan yang kita miliki di sini bukan hanya kulit ular sawa, tetapi juga buaya dan iguana invasif, “katanya.

Wood menganggarkan topeng muka yang dibuat dengan kulit ular sawa Burma atau iguana invasif dijual pada harga sekitar AS$90 (RM392) setiap satu manakala kulit buaya bertatah berlian dari kulit berharga AS$120 (RM523).