Penyamun pelitup muka mati ditembak

Johannesburg: Polis menembak mati dua individu yang mahu mencuri pelitup muka dan telefon bimbit dalam kejadian berbalas tembakan di Lapangan Terbang Johannesburg, Afrika Selatan, semalam.

Jurucakap polis berkata, pihaknya mengesan sekumpulan lelaki memasuki kawasan kargo di Lapangan Terbang OR Tambo.

Beliau berkata, suspek dikatakan mengugut mangsa menggunakan pistol di gudang lapangan terbang berkenaan.

“Menyedari kejadian itu, polis kemudian mengejar suspek menggunakan kenderaan dan mereka berbalas tembakan.

“Ia menyebabkan dua susupek ditembak mati manakala tujuh yang lain berjaya diberkas,” katanya seperti dilaporkan AFP.

Menurutnya, seorang individu cedera akibat terkena peluru sesat.

Polis turut menemui pelitup muka yang dicuri selain tiga kotak mengandungi telefon bimbit.

Butiran lanjut mengenai kejadian itu masih belum diketahui dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut.

Negara itu merekodkan jangkitan Covid-19 tertinggi di benua Afrika dengan lebih 350,000 kes dan kira-kira 5,000 kematian.

Selain itu, Afrika Selatan juga adalah negara yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di dunia.