Perancis arah sebuah masjid tutup enam bulan

Paris: Perancis menutup secara sementara sebuah masjid di sini, susulan kejadian seorang guru maut dipenggal selepas menunjukkan kartun didakwa Nabi Muhammad SAW.

Ia bagi membolehkan siasatan terperinci termasuk mengesan pihak yang didakwa membangkitkan kebencian berhubung kejadian berkenaan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berjanji menggiatkan usaha perisikan untuk menghalang jaringan keganasan di negara itu.

Masjid itu berada di kawasan dengan penduduk yang padat di timur laut pinggir Paris.

Susulan pembunuhan kejam terhadap guru sejarah, Samuel Paty, Facebook masjid itu menerima kecaman selepas didakwa memuat naik video yang didakwa membangkitkan sentimen agama.

Video berkenaan dikatakan dimuat naik sebelum insiden pembunuhan guru berkenaan.

Agensi Deutsche Welle melaporkan, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan masjid di Pantin yang memuatkan 1,500 jemaah ditutup selama enam bulan bermula malam Rabu.

Media sebelum ini melaporkan Patty maut selepas kepalanya dipenggal di luar sekolah dekat Conflans Saint-Honorine, petang Jumaat lalu.

Guru sejarah berkenaan sebelum itu menunjukkan kartun Nabi Muhammad SAW sebagai bahan perbincangan mengenai kebebasan bersuara.

Polis yang tiba di tempat kejadian menembak mati suspek dikenali Abdullakh Anzorov.

Suspek adalah remaja lelaki kelahiran Moscow dan berketurunan Chechnya, yang berusia 18 tahun.

Kes itu mendapat liputan meluas sehingga menyebabkan demonstrasi besar-besaran di seluruh Perancis.