Perancis hadapi cabaran yakinkan golongan antivaksin

Paris: Perancis berdepan dilema bagi meyakinkan golongan antivaksin di negara itu untuk mendapatkan suntikan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Meskipun dikenali sebagai negara kelahiran bapa imunisasi, Louis Pasteur, penduduk Perancis kini adalah antara yang paling ramai meragui penggunaan vaksin.

Sedangkan, pengumuman Britain semalam yang meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 memberi tekanan kepada negara lain untuk melaksanakan langkah sama.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan, kerajaan menyasarkan untuk mengagihkan vaksin kepada penduduk paling terdedah kepada virus itu pada awal tahun depan.

Fasa kedua agihan vaksin pula akan tertumpu kepada kelompok masyarakat secara lebih meluas dan dijangka bermula antara April dan Jun.

Namun, Macron menggalas tugas berat untuk meyakinkan rakyat di negaranya supaya mendapatkan suntikan bagi mencapai imuniti kelompok atau herd immunity.

Strategi itu supaya keseluruhan penduduk dilindungi daripada virus berkenaan.

Menerusi satu tinjauan akhbar Le Journal du Dimanche pada hujung minggu lalu, hanya 41 peratus rakyat di negara itu merancang untuk mendapatkan vaksin.

Statistik oleh Gallup pula merekodkan sebanyak 58 peratus penduduk di Amerika Syarikat tergolong sebagai antivaksin atau meragui keberkesanan vaksin.

Bagaimanapun, Macron menolak desakan aktivis alam sekitar, Yannick Jadot, supaya suntikan vaksin diwajibkan kepada semua penduduk.

Sebaliknya, harapannya ketika ini adalah bagi memenangi hati rakyat dan meyakinkan mereka secara telus.

Sementara itu, tukang paip berusia 65 tahun, Richard Lamette, memberitahu beliau tidak merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga ia diuji dan terbukti berkesan ke atas penduduk.

Ini kerana Lamette berpandangan bahaya virus itu seolah-olah sengaja diperbesar-besarkan selepas melihat beberapa rakan sekerjanya yang lebih muda pulih dalam tempoh 10 hari selepas dijangkiti virus berkenaan.

“Penyakit atau tabiat lain membunuh lebih ramai manusia seperti barah dan rokok tetapi ia tidak pula digembar-gemburkan,” katanya.

Setakat ini, Covid-19 dilaporkan sudah menjangkiti hampir 65 juta orang di seluruh dunia dan menyebabkan 1.5 juta kes kematian.