Perhimpunan penyokong Trump cetus 30,000 jangkitan Covid-19

Washington: Perhimpunan musim panas penyokong Donald Trump mengakibatkan 30,000 kes Covid-19 dan kemungkinan menyebabkan 700 kematian, menurut satu kajian baharu.

Kajian berkenaan yang diterbitkan Institut Penyelidikan Polisi Ekonomi Universiti Stanford, menyiasat impak 18 perhimpunan terhadap komuniti tempatan.

Mirror UK melaporkan, kajian itu mendapati acara berkenaan meningkatkan kes berkaitan Covid-19 pada kadar purata lebih 250 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan perhimpunan harian pada minggu penutup kempen dengan anggara sehingga lima perhimpunan sehari.

Peserta perhimpunan hanya memakai topeng dan bukan pelitup muka serta gagal menjaga jarak fizikal sesama mereka.

Malah, Trump turut menyatakan berulang kali bahawa virus berkenaan hanyalah konspirasi media untuk menyekat orang ramai keluar pada pilihan raya.

Beliau turut mengejek mereka yang mengenakan pelitup muka, meremehkan risiko virus itu serta menuduh doktor mereka-reka jumlah kematian untuk menjana wang.

Keadaan ini berlaku selepas The Villages, komuniti pesara yang besar di Florida, melaporkan peningkatan kes, seminggu selepas kunjungan Trump ke kawasan itu untuk menghadiri perhimpunan besar.

Kajian oleh Stanford itu melihat rantaian acara pada Julai, Ogos dan September yang bermula dengan perhimpunan utama di Tulsa, Oklahoma.

Penulis kajian itu, B Douglas Bernheim, Nina Buchmann, Zach Freitas-Groff dan Sebastián Otero berkata, anggaran jumlah kematian tidak terhad kepada mereka yang menghadiri perhimpunan kerana ia merebak dari peserta ke keluarga dan rakan-rakan pada hari serta minggu berikutnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19