Perintah darurat di Thailand dibatalkan

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha membatalkan perintah darurat hari ini selepas gagal mengawal demonstrasi harian yang menuntut pengunduran dirinya dan pembaharuan sistem monarki di negara berkenaan.

Gerakan prodemokrasi yang dipimpin pelajar mula membuat bantahan sejak pertengahan Julai lalu, menuntut pemecatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha dan meminda perlembagaan bertulis tentera 2017.

Beberapa pemimpin gerakan protes itu turut menuntut proses reformasi ke atas sistem monarki.

Perintah darurat yang “ketat” dikenakan minggu lalu selepas penunjuk perasaan antipemerintah memberikan salam tiga jari kepada kenderaan diraja – cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada sistem monarki di negara itu.

Larangan mengadakan perhimpunan membabitkan peserta lebih dari empat orang yang dikuatkuasakan di negara itu gagal menghalang puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul setiap hari di sekitar persimpangan utama Bangkok.

Bekas ketua tentera itu yang mendalangi rampasan kuasa 2014 dan sejak itu berkuasa dilihat semalam bersiap sedia untuk melaksanakan perintah darurat yang lebih ketat.

Media utama kerajaan, Royal Gazette menyatakan perintah darurat itu ditarik balik sejak jam 12 malam tadi.

“Semua syarat yang ditetapkan dalam perintah darurat telah dihentikan,” menurut media rasmi kerajaan itu.

Selain melarang perhimpunan lebih dari empat orang, perintah darurat itu memberi kuasa kepada polis untuk menahan penunjuk perasaan dan merampas peralatan elektronik yang boleh mengancam keselamatan negara, tindakan yang menimbulkan kemarahan ramai.

Parlimen Thailand yang kini tidak bersidang – dipanggil bersidang untuk sesi khas Isnin lalu dalam usaha menyelesaikan krisis itu.

Mengikut rekod, Thailand dikuasai tentera sejak 1932 dan berakhir pada 1973. Ia sekali lagi melalui episod rampasan kuasa tentera pada 2014.