Perintah larangan dicabar di mahkamah

Sydney: Seorang pengusaha bar dan restoran Australia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Victoria berhubung sekatan pergerakan Covid-19 yang berlanjutan selama beberapa bulan, lapor agensi berita Xinhua.

Plaintif, Julian Gerner yang mengemukakan kesnya di Mahkamah Tinggi Australia semalam, memiliki bar dan restoran di Semenanjung Mornington, selatan ibu kota Melbourne.

Gerner dalam satu kenyataan kepada media Fairfax, mendakwa sekatan pergerakan di Victoria adalah ‘tidak perlu’ dan menafikan ‘kebebasan asas warga Australia di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk hak kebebasan bergerak’.

Peraturan sekatan pergerakan diperkenalkan di Victoria untuk membendung gelombang kedua jangkitan.

Penduduk tidak dibenarkan melakukan perjalanan lebih lima kilometer (km) dari kediaman masing-masing dan sebahagian besar diminta duduk di rumah kecuali mereka yang bekerja, belajar serta untuk membeli barang keperluan.

Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews, melanjutkan pengisytiharan darurat selama empat minggu lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19