Perkosa lepas bunuh

New Delhi: Berang selepas mengesyaki isteri curang, seorang lelaki di utara India membunuh wanita itu, adik ipar dan ibu mentuanya.

Lebih mengejutkan, kekejaman lelaki itu tidak terhenti di situ apabila merogol mayat ketiga-tiga individu berkenaan.

Polis menemui mayat semua mangsa di tiga lokasi berbeza pada 6, 7 dan 8 September lalu.

Portal TimesNowNews yang memetik Hindustan Times melaporkan suspek dikenal pasti sebagai Noor Hasan, 27.

Berdasarkan laporan berkenaan, polis di Chandigarh, Hayana mendapat tahu hal itu selepas menahan suspek terbabit.

Suspek memberitahu polis bahawa dia melakukan perbuatan itu kerana mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit.

Selain itu, lelaki itu mendakwa adik ipar dan mak mentua menyokong kecurangan isterinya.

Menurut polis, pada kejadian 5 September lalu, suspek terdahulu memberikan dadah kepada isteri dan adik iparnya sebelum membunuh mangsa dengan senjata tajam.

Seterusnya, suspek membuang mayat mereka di dua lokasi berbeza.

Pada 8 September lalu, lelaki itu pergi ke rumah ibu mentuanya di kampung Bursham dan mencekik wanita berkenaan.

Dia juga berusaha membakar tubuh mangsa untuk menyembunyikan identiti ibu mentuanya itu.