Persoal pemakaian pelitup muka, akhirnya dijangkiti Covid-19

Washington: Keceluparan mulut seorang paderi yang menolak memakai pelitup muka akhirnya memakan diri apabila dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat virus Covid-19.

Paderi Gereja Candlelight di Coeur d’Alene, Idaho, Amerika Syarikat dikenali sebagai Paul van Noy dikatakan dirawat di ICU sebuah hospital selama dua minggu selepas mempunyai gejala virus itu.

Dia dikatakan kerap menolak memakai pelitup muka dan mempersoalkan alasan pemakaian pelindung muka itu.

Bagaimanapun, dia disahkan dijangkiti virus itu bulan ini menyebabkan gereja itu ditutup serta-merta.

Penyelaras gereja itu Eric Reade memberitahu CNN, isteri paderi itu, Brenda dan lima kakitangan rumah ibadat itu juga disahkan positif Covid-19 tetapi kini dilaporkan sudah sembuh.

Melalui keterangan dikeluarkan pada Khamis lalu, paderi itu mengatakan pada awalnya keadaannya bertambah pulih.

“Tetapi saya masih memerlukan bantuan oksigen terutama ketika hendak beralih daripada katil,” katanya.

Bagaimanapun, portal The Independent melaporkan, Paul masih dirawat di ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa beberapa hari kemudian dan dibenarkan pulang ke rumah.

Berdasarkan data kesihatan kawasan berkenaan, Paul, isterinya dan lima kakitangan gereja termasuk dalam 3,050 kes positif Covid-19 di Northwest Idaho.

Gereja Candlelight ditutup sejak Mac lalu bagi mencegah virus Covid-19 sebelum dibuka semula pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun, tular video pada 22 Julai lalu Paul menegaskan dia tidak akan memakai pelitup mula dan tidak suka dipaksa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19