Pesakit Covid-19 dibenarkan rukhsah tidak berpuasa

Abu Dhabi: Pesakit Covid-19 dibenarkan rukhsah tidak berpuasa pada Ramadan, umum Majlis Fatwa UAE pada Ahad.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat virtual majlis berkenaan yang dipengerusikan Sheikh Abdullah Bayyah serta turut menekankan supaya umat Islam yang sihat wajib berpuasa.

Gulf News melaporkan, kebenaran bagi pesakit pandemik itu tidak berpuasa berdasarkan ayat al-Quran, “Puasa diwajibkan itu ialah beberapa hari tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajib dia berpuasa sebanyak (hari dibuka) itu pada hari lain dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

“Maka sesiapa dengan sukarela memberi (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah jika kamu mengetahuinya.” (al-Baqarah: 184)

Majlis itu berbincang mengenai perkembangan yang orang ramai perlu tahu mengenai peraturan Islam, terutama ketika menghampiri Ramadan.

Menurutnya, fatwa dikeluarkan turut bersandar bukti daripada hadis sahih yang dipersetujui semua, bahawa dibenarkan orang sakit tidak berpuasa manakala yang sihat dilarang berbuka puasa.

Pihak berkenaan bagaimanapun menegaskan supaya mematuhi arahan penutupan masjid sehingga dimaklumkan pihak berkuasa Pengurusan Bencana, Krisis dan Kecemasan Kebangsaan yang bekerjasama dengan Penguasa Hal Ehwal Islam dan Awqaf, selain pihak berkuasa agama dan kesihatan persekutuan serta tempatan dalam negara itu.

Ia bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Keadaan luar biasa yang kita lalui memerlukan kita menekankan nilai kemanusiaan tinggi apabila agama kita juga menuntut mempromosikan nilai kasih sayang, memperkukuh hubungan sesama manusia berdasarkan prinsip perpaduan, kerjasama dan kesatuan.

“Untuk itu, kami mengambil kesempatan ini menyeru seluruh dunia dan setiap umat memberi bantuan kepada orang miskin dan memerlukan, membantu meringankan penderitaan dan kesakitan golongan ini tanpa mengira latar belakang agama dan etnik mereka,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19