Pesakit Covid-19 terpaksa tidur di lantai

Mumbai: Mayat dibiarkan tanpa diberi perhatian di wad hospital dan pesakit diminta untuk tidur di lantai sehingga ada kekosongan katil.

Lebih menyedihkan, seorang wanita yang mengalami kecederaan otak meninggal dunia kerana pihak hospital enggan merawatnya sehingga ahli keluarga dapat membuktikannya bebas dari jangkitan Covid-19.

The Guardian melaporkan, di wad kecemasan Hospital Sion, di sini, terdapat dua pesakit terpaksa berkongsi katil.

Pesakit dengan gejala jangkitan Covid-19 pula dilaporkan perlu menggunakan tangki oksigen yang sama.

Mumbai, bandar yang menempatkan 20 juta penduduk menerima kes Covid-19 sejak beberapa minggu lalu namun, jumlah pesakit yang terlalu ramai serta sistem kesihatan yang sedia teruk, hanya menambah kesengsaraan petugas perubatan.

Doktor dan jururawat juga dilaporkan dijangkiti virus berkenaan menyebabkan hospital di bandar itu kini kekurangan tenaga kerja.

Manish Shetty, doktor yang bertugas di wad Covid-19 di hospital Guru Nanak mendakwa kakitanga perubatan keletihan mengendalikan pesakit yang dibawa untuk rawatan.

“Risiko jangkitan di kalangan kami juga tinggi dan lebih membimbangkan jumlah katil di unit rawatan rapi tidak mencukupi,” katanya.

Disebabkan sumber yang berkurangan, khidmat penjagaan kesihatan tidak lagi diberikan kepada pesakit yang tidak dijangkiti Covid-19.

Doktor di sebuah hospital pemerintah, Hospital Memorial King Edward, Dr Saad Ahmed berkata, pihaknya membuka wad baru setiap hari tetapi ia tetap dipenuhi pesakit Covid-19.

“Semua wad kini menjadi wad Covid-19 dan sudah penuh,” katanya.

Mumbai kini menjadi pusat wabak Covid-19 di India yang mewakili satu perempat daripada lebih 4,700 kematian dan satu perlima daripada lebih 165,000 kes jangkitan di India.