Pesakit Covid-19 ugut bunuh diri kerana tak boleh beraya

Surabaya: Pesakit Covid-19 di hospital Slamet Martodirjo, Pamekasan, Jawa Timur menuntut kebenaran untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga dengan sebahagian daripada mereka mengambil langkah ekstrim termasuk memberi ugutan.

Ketua pasukan keselamatan Covid-19 hospital terbabit, Syaiful Hidayat berkata, sesetengah keluarga mengugut pihak hospital namun, mereka kekal melarang pesakit pulang ke rumah.

“Segelintir pesakit juga mengancam mahu membunuh diri jika mereka diasingkan pada cuti perayaan ini.

“Kami tetap berdiri teguh dengan peraturan dan melakukan tugas kami mengikut protokol,” katanya dipetik The Jakarta Post menerusi portal Kompas.Com.

Katanya, walaupun pasukan petugas perubatan menjadi sasaran kemarahan dan pelbagai ugutan, namun mereka tidak tunduk dengan tuntutan pesakit kerana potensi penyebaran yang memberikan ancaman lebih besar.

“Kami tolak permintaan mereka kerana pesakit diuji positif Covid-19 atau suspek wabak itu munkin akan memindahkan jangkitan kepada ramai orang.

“Saya gesa orang awam mematuhi peraturan dan arahan kesihatan bagi mengelak jangkitan Covid-19,” katanya.

Presiden Joko Widodo dalam perutusan Aidilfitrinya mengajak orang ramai mengutamakan kesihatan diri dan keluarga mereka dalam tempoh perayaan ini.

“Kita sambut (Aidilfitri) dalam suasana berlainan kerana (sekarang) kita semua perlu berkorban untuk tidak (balik kampung) dan berkumpul (dengan keluarga) seperti biasa,” katanya.