Pesara juara lontar pisau lapan kali

Moscow: Siapa sangka pada mulanya dia menjadikan aktiviti melontar pisau sebagai hobi selepas bersara, tetapi wanita ini kini menjadi juara kebangsaan sebanyak lapan kali.

Malah, dia juga menjadi pemegang kejuaran di peringkat Eropah dan dunia.

Portal Oddity Central melaporkan Galina Chuvina, 56, tinggal di bandar kecil Sasovo di Russia berkata, pada suatu hari datang dua lelaki untuk membincangkan kemungkinan membuka kelab lontar pisau di tempat itu dan dia menjadi orang pertama mendaftar untuk aktiviti berkenaan.

Katanya, selepas sebulan setengah menjalani latihan, pesara itu dimaklumkan mengenai pertandingan melontar pisau yang disertai sekitar 50 peserta termasuk tentera, profesional dan juga amatur sepertinya.

Dia kemudian mendaftar dan mengejutkan penonton dengan memenangi tempat pertama.

Kemenangan pelontar pisau amatur itu mengejutkan ramai tetapi ada juga yang menyebutnya sebagai nasib.

Bagaimanapun, pesara itu membuktikan ia bukanlah nasib dengan memenangi Kejuaraan Lontar Pisau Nasional 2007, di Moscow, di mana dia sekali lagi meraih kemenangan sensasi dengan mengalahkan pelontar pisau terbaik negara itu.

Hadiah pertamanya adalah penggiling daging yang baru tetapi untuk kemenangannya di Russia Galina menerima telefon bimbit dan tilam udara.