Pesawat seludup 390 kg kokain terbakar

Mexico City: Sebuah pesawat persendirian membawa muatan 390 kilogram kokain bernilai AS$4.9 juta (kira-kira RM20.9 juta) terbakar selepas mendarat cemas di sebuah lebuh raya di Mexico, pada pagi Ahad.

New York Post yang memetik laporan Mexican News Daily melaporkan pesawat Hawker 700 itu mendarat di Quintana Roo, di Semenanjung Yucata.

Media tempatan melaporkan bahawa kru pesawat itu sempat memunggah muatan dadah itu ke dalam sebuah trak.

Mereka kemudian melarikan diri ke hutan berhampiran.

Pada kejadian 8 pagi itu, pasukan keselamatan bergegas ke lokasi tetapi mendapati pesawat itu sudah terbakar di lebuh raya yang lengang itu.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan trak berisi muatan dadah berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Difahamkan, pesawat itu berlepas dari Maracaibo di Venezuela.

Video dimuat naik ke Twitter oleh pihak berkuasa menunjukkan asap dari pesawat yang terbakar.

Dalam pada itu, akhbar tempatan, Millenio melaporkan Tentera Udara Mexico sudah mengesan pesawat itu selepas ia berlepas dari Maracaibo.

Susulan itu, sebuah pesawat tentera dihantar untuk memintas pesawat persendirian berkenaan.

Ia memaksa kapten pesawat melakukan pendaratan cemas.

Ini bukan kali pertama kejadian itu berlaku di wilayah berkenaan. Pada Januari, dua pesawat membawa senjata api dan kokain ditahan secara berturut-turut dalam tempoh dua hari.