Phuket mahu benarkan pelancong jangka panjang

Phuket: Kerajaan Thailand dijangka memberi kebenaran kepada pelancong untuk percutian jangka panjang di pulau ini, mulai Oktober depan.

Keputusan itu dibuat kerajaan bagi mengaktifkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand, Yuthasak Supasorn berkata, pelancong perlu mematuhi beberapa syarat.

“Mereka perlu tinggal untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari.

“Bagi tempoh 14 hari pertama, mereka perlu menjalani kuarantin di kawasan terhad di hotel,” katanya seperti yang dilaporkan The Jakarta Post.

Pengumuman itu dibuat selepas pihak berkuasa menggantung rancangan untuk mengadakan perjanjian berhubung gelembung perjalanan (travel bubble) dengan beberapa negara.

Ia berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Asia susulan gelombang kedua penularan pandemik berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn, pada Khamis berkata, pelancong juga perlu menjalani dua ujian saringan sepanjang tempoh kuarantin sebelum boleh mengembara ke seluruh pulau ini.

“Mereka juga perlu sekali lagi menjalani ujian saringan dan mesti tinggal di wilayah ini untuk tempoh tambahan satu minggu, sebelum dibenarkan mengembara ke kawasan lain di Thailand,” katanya.

Sudah hampir tiga bulan Thailand tidak merekodkan kes positif penularan tempatan Covid-19.

Setakat ini, sudah merekodkan lebih 3,300 kes dengan kerajaan sudah mengaktifkan arahan kecemasan negara sehingga September untuk mengawal penularan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19