Phuket ‘mati’

Bangkok: Pulau mati. Itu perkataan yang paling tepat menggambarkan situasi di Phuket yang kini sepi daripada kunjungan pelancong.

Ia apabila ketiadaan pelancong asing selepas banyak negara menutup sempadan antarabangsa dan menguatkuasakan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

AFP melaporkan tiada lagi bunyi muzik yang bingit dari pusat hiburan, malah hampir sebahagian besar jalan di bandar Patong kini lengang.

Situasi sama juga dilihat apabila tiada pelancong berjemur di kolam renang dan pantai.

Malah, keadaan sunyi itu menarik penyu untuk kembali mendarat bagi bertelur di lokasi tertentu di pulau peranginan ini.

HAMPIR sebahagian besar jalan di bandar Patong kini lengang. FOTO AFP
HAMPIR sebahagian besar jalan di bandar Patong kini lengang. FOTO AFP

Sebelum Covid-19, Phuket menjadi destinasi pelancongan kedua paling popular di Thailand, selepas Bangkok, dengan kunjungan sembilan juta pelancong, pada tahun lalu.

Sektor itu juga menyumbang hampir 80 peratus daripada pendapatan di pulau itu dan memberikan lebih 300,000 peluang pekerjaan.

Menurut ahli perniagaan tempatan, Preechawut Keesin, ketiadaan pelancong pada masa ini memaksa sebahagian besar daripada 3,000 hotel tidak dapat beroperasi.

Akibatnya, ribuan hilang pekerjaan dan terpaksa pulang ke kampung halaman.

Seorang pengurus bar di pulau itu, Jantima Tongsrijern berkata, majikannya berusaha membantu memastikan pekerja masih mempunyai pekerjaan.

“Bagaimanapun, saya tidak fikir kami dapat terus beroperasi sehingga akhir tahun ini,” katanya.

SEORANG lelaki merakam gambar di pantai yang kosong di Phuket. FOTO AFP
SEORANG lelaki merakam gambar di pantai yang kosong di Phuket. FOTO AFP

Ada juga majikan yang terpaksa mengurangkan gaji pekerja yang masih bekerja di pulau itu.

Mereka yang memilih untuk tidak pulang ke kampung pula terpaksa mendapatkan bantuan kerajaan dan mencari sumber pendapatan lain.

Seorang pemilik bar, Orathai Sidel berkata, dia lazimnya memperoleh pendapatan sehingga AS$3,200 (kira-kira RM13,244) ketika zaman sebelum pandemik.

Tetapi kini, wanita itu terpaksa menjaja dengan menjual hidangan pencuci mulut demi mendapatkan kira-kira AS$3 (kira-kira RM12) sehari bagi menampung belanja sekolah anaknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19