Pilihan raya terbesar era Covid-19 di India

Patna: Berjuta-juta rakyat India keluar mengundi dalam pilihan raya negeri hari ini, yang menjadi pilihan raya terbesar di dunia sejak Covid-19.

Pondok pilihan raya penuh sesak dan ramai yang mengabaikan nasihat pemerintah untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Seramai 70 juta orang layak mengundi di Bihar, negeri di bahagian timur yang diperintah oleh pakatan yang termasuk Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, yang menjanjikan vaksin percuma untuk setiap orang di negeri itu jika menang.

Pilihan raya itu diadakan tatkala India, negara kedua paling banyak dijangkiti Covid-19 di dunia, mencatat hampir lapan juta kes jangkitan.

“Saya agak takut kerana Covid-19 (virus) bukan penyakit kecil.

“Tetapi ada tindakan pencegahan di bilik pengundian. Mereka memberikan cecair pensanitasi dan sarung tangan,” kata Nidhi Kumari, seorang pelajar berusia 21 tahun yang beratur untuk mengundi di pinggiran ibu negeri Patna.

Pengundian di Bihar dipecahkan kepada tiga hari dengan baki dua hari lagi pada 3 November dan 7 November untuk mengurangkan kesesakan di tempat mengundi.

Pesakit Covid-19 mengundi di bawah pengawasan pihak kesihatan.

Modi yang mengadakan beberapa tunjuk perasaan di seluruh negeri menjelang pemilihan merayu kepada pengundi hari ini ‘supaya mengambil semua langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19 ketika mengambil bahagian dalam festival demokrasi ini’.

Namun, di sebuah pondok mengundi yang dikunjungi AFP, pengundi berbaris panjang dalam kedudukan yang rapat dan hanya beberapa dilihat memakai pelitup muka.

Pihak berkuasa telah berusaha untuk memastikan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka ketika tunjuk perasaan di seluruh negara yang telah menarik puluhan ribu orang.

Pengundian itu adalah yang pertama di India sejak Modi memerintahkan penutupan ketat pada akhir Mac yang menyebabkan berjuta-juta pekerja migran miskin, kebanyakan dari Bihar, kehilangan pekerjaan mereka dengan sebahagian terpaksa berjalan kaki selama berhari-hari atau berminggu-minggu untuk pulang.

Bihar, salah satu negeri termiskin di India, telah diperintah oleh sekutu BJP nasionalis-Hindu pimpinan Modi dan parti Janta Dal United selama lebih sedekad.