Pinjam wang guna dokumen pelanggan

Bangkok: Seorang bekas kerani bank ditahan polis untuk siasatan selepas disyaki menipu dan menyeleweng wang pelanggan bernilai lebih 10 juta baht (kira-kira RM1.33 juta) menerusi prosedur pinjaman kewangan.

Polis Bahagian Penindasan Jenayah mengesahkan menangkap suspek, Phanuphan Phonwichit rumahnya di daerah Muang.

Mahkamah Wilayah Roi memerintahkan polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Phanuphan atas pertuduhan menyeleweng wang, memalsukan dokumen dan menyalahgunakan kuasa hingga menyebabkan kerugian kepada orang awam.

Menurut polis, Phanuphan dipercayai meyakinkan rakannya untuk melabur wang kira-kira tujuh juta baht (kira-kira RM932,000) melaluinya dengan menjanjikan pulangan tinggi.

Namun, hasilnya tidak seperti diharapkan dan tahun lalu, Phanuphan bertukar kerja iaitu sebagai pembantu pengurus kredit untuk cawangan bank di wilayah Yasathon yang berhampiran.

Dia sekali lagi membuat onar dengan memberitahu pelanggan bahawa kerajaan menawarkan skim pinjaman mudah kepada orang awam.

Pelanggan yang berminat diminta menyerahkan dokumen mereka kepadanya dan Phanuphan berjanji menguruskan prosedur pinjaman untuk mereka.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Phanuphan menggunakan dokumen kepunyaan pelanggan untuk memohon pinjaman buat dirinya dan mengumpulkan wang diperoleh.

Akibatnya, pelanggannya menanggung kerugian dan ada di antara mereka yang diisytiharkan muflis.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis Pho Thong di Roi Et dan balai polis Kham Khuen Kaew di wilayah Yasothon.

Phanuphan cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya selepas ditangkap polis.

Lelaki itu bagaimanapun menafikan tuduhan terhadapnya dan enggan memberi kenyataan lanjut.