‘Pintu Neraka’ sejak 1971

Ashgabat: Asalnya sekumpulan jurutera petrokimia mencari telaga minyak di sebuah gurun di Darwaza, Turkmenistan pada 1971.

Namun mereka kemudian menyedari kawasan berkenaan sebenarnya mengandungi simpanan gas asli lain iaitu metana.

Akibat kerja berkenaan, tanah di situ mula runtuh lalu membentuk kawah besar. Ia kemudian dibakar sebagai usaha untuk menghilangkan gas metana menyebabkan kawah itu terus menyala sehingga hari ini.

Daripada tapak cari gali minyak, ia bertukar menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara kerana keunikan api di dalam kawah itu.

Terletak di Gurun Karakum, kawah itu terus menyala sehingga kini dan digelar sebagai ‘Pintu Neraka’ atau Door to Hell .

Memetik web My Modern Met, kawah itu memiliki kedalaman 30 meter dan 69 meter lebar.

Kesannya, kawasan gurun yang sebelum ini tiada tarikan, menjadi topik bualan sehingga bertukar menjadi aset pelancongan.

Sehinggakan terdapat poster besar yang menyambut kehadiran pelancong ke negara itu dengan kata-kata ‘Pintu Neraka’.

Walaupun tiada pengangkutan terus ke situ, semua bas yang menuju ke utara dari Ashgabat ke Dashoguz akan melalui kawasan berkenaan.

Biarpun tidak beracun, gas itu memberi masalah kerana banyak haiwan yang mati akibat terhidu metana.

Terpesona dengan suasana serta api yang membara, ia turut menarik minat labah-labah tempatan yang terjun ke lubang berkenaan.

Pada 2010, Presiden Turkmenistan, Kurbanguly Berdymukhamedov menyatakan kebimbangan kawah terbabit akan memberi kesan kepada aktiviti berhampiran lokasi itu.